Ambil video dengan kamera iPad anda
Gunakan Kamera untuk merakam video pada iPad anda dan tukar mod untuk mengambil video gerak perlahan dan selang masa.
Nota: Rakaman video tidak tersedia semasa dalam panggilan telefon atau FaceTime.
Rakam video
Pilih mod Video.
Ketik butang Rakam atau tekan mana-mana butang kelantangan untuk mula merakam. Semasa merakam, anda boleh melakukan yang berikut:
Cubit skrin untuk zum masuk dan keluar.
Untuk zum dengan lebih tepat, sentuh dan tahan 1x, kemudian seret gelangsar (pada model disokong).
Ketik butang Rakam atau tekan mana-mana butang kelantangan untuk berhenti merakam.
Nota: Untuk keselamatan anda, titik hijau kelihatan di bahagian atas skrin semasa Kamera sedang digunakan. Lihat Kawal akses kepada ciri perkakasan.
Rakam video HD atau 4K
Bergantung pada model iPad, anda boleh merakam video dalam format berkualiti tinggi seperti HD, 4K, HD (PAL) dan 4K (PAL).
Nota: Kadar bingkai lebih cepat dan resolusi lebih tinggi menghasilkan fail video yang lebih besar.
Pergi ke Seting > Kamera > Rakam Video.
Pilih daripada senarai format video dan kadar bingkai yang disokong oleh iPad anda.
Nota: PAL ialah format video televisyen yang digunakan di kebanyakan negara dan rantau di Eropah, Asia dan Amerika Selatan.
Gunakan penogol cepat untuk menukar resolusi video dan kadar bingkai
Dalam mod Video, gunakan togol cepat di bahagian atas skrin untuk menukar resolusi video dan kadar bingkai yang tersedia pada iPad anda. Untuk memaparkan togol cepat, pergi ke Seting > Kamera > Rakam Video, kemudian aktifkan Kawalan Format Video.
Rakam video gerak perlahan
Apabila anda merakam video dalam mod Slo-mo, video anda merakam seperti biasa dan anda melihat kesan gerak perlahan apabila anda memainkannya semula. Anda juga boleh mengedit video anda supaya tindakan gerak perlahan bermula dan berhenti pada masa yang tertentu.
Pilih mod Slo-mo.
Ketik butang Rakam atau tekan mana-mana butang kelantangan untuk mula atau berhenti merakam.
Untuk setkan sebahagian video bermain dalam gerak perlahan dan selebihnya pada kelajuan biasa, ketik imej kecil video, kemudian ketik Edit. Luncurkan bar menegak di bawah pemapar bingkai untuk menentukan bahagian yang anda mahu main balik dalam gerak perlahan.
Bergantung pada model, anda boleh menukar kadar bingkai dan resolusi. Lebih laju kadar bingkai dan lebih tinggi resolusi, lebih besar saiz fail video yang terhasil.
Untuk menukar seting rakaman gerak perlahan, pergi ke Seting > Kamera > Rakam Slo-mo.
Ambil video selang masa
Pilih mod Selang masa.
Sediakan iPad anda di tempat yang anda mahu mengambil matahari terbenam, aliran trafik, atau pengalaman lain untuk suatu tempoh masa.
Ketik butang Rakam untuk mula merakam; ketiknya lagi untuk berhenti merakam.
Laraskan seting BPS Auto
Pada model yang menyokong BPS Auto, iPad boleh meningkatkan kualiti video dalam keadaan kurang cahaya dengan mengurangkan kadar bingkai ke 24 bps secara automatik.
Pergi ke Seting > Kamera > Rakam Video, kemudian lakukan satu daripada yang berikut:
Pada iPad (generasi ke-9), iPad Pro 11 inci(generasi pertama dan generasi ke-2) dan iPad Pro 12.9 inci (generasi ke-3 dan generasi ke-4): Aktifkan BPS Cahaya Malap Auto.
Pada iPad (generasi ke-10), iPad mini (generasi ke-6), iPad Air (generasi ke-4 dan lebih baharu), iPad Pro 11 inci (generasi ke-3 dan lebih baharu) dan iPad Pro 12.9 inci (generasi ke-5 dan lebih baharu). Ketik BPS Auto, kemudian gunakan BPS Auto pada video 30-bps sahaja atau pada kedua-dua video 30 dan 60 bps.
Kunci seting imbangan putih
Anda boleh mengunci imbangan putih semasa merakam video pada iPad anda untuk meningkatkan ketepatan rakaman warna berdasarkan keadaan cahaya.
Pergi ke Seting > Kamera > Rakam Video, kemudian aktifkan Kunci Imbangan Putih.