Setkan had komunikasi dan keselamatan serta sekat kandungan tidak sesuai pada iPhone
Dalam Masa Skrin, anda boleh mengesetkan had untuk melindungi privasi anda dan menyekat kandungan tidak sesuai.
Benarkan atau sekat panggilan dan mesej daripada kenalan khusus
Anda sama ada boleh membenarkan atau menyekat komunikasi—termasuk panggilan telefon masuk dan keluar, panggilan FaceTime serta mesej—daripada kenalan tertentu di iCloud, sama ada sepanjang masa atau semasa tempoh tertentu.
Jika anda belum mengaktifkan Kenalan di iCloud, pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud, ketik Tunjukkan Semua, kemudian aktifkan Kenalan.
Pergi ke Seting > Masa Skrin.
Ketik Had Komunikasi, ketik Semasa Masa Skrin, kemudian pilih salah satu daripada yang berikut untuk komunikasi sepanjang masa (selain daripada semasa masa henti).
Hanya Kenalan: Untuk membenarkan komunikasi hanya dengan kenalan anda.
Kenalan & Kumpulan dengan Sekurang-kurangnya Seorang Kenalan: Untuk hanya membenarkan perbualan satu dengan satu dengan orang dalam kenalan anda dan perbualan kumpulan yang menyertakan sekurang-kurangnya seorang dalam kenalan anda.
Semua Orang: Untuk membenarkan perbualan dengan sesiapa sahaja, termasuk nombor yang tidak dikenali.
Ketik Balik di kiri atas, kemudian ketik Semasa Masa Henti.
Pilihan yang anda pilih dalam langkah 3 (untuk Semasa Masa Skrin) telah disetkan di sini. Anda boleh menukar seting ini ke Kenalan Khusus, kemudian pilih salah satu daripada yang berikut:
Kenalan Khusus: Untuk memilih kenalan bagi membenarkan komunikasi dengannya semasa masa henti.
Semua Orang: Untuk membenarkan perbualan dengan sesiapa sahaja, termasuk nombor yang tidak dikenali.
Jika orang yang sedang disekat oleh seting Had Komunikasi anda cuba untuk memanggil anda atau menghantar mesej kepada anda, komunikasi mereka akan gagal.
Jika anda cuba memanggil atau menghantar mesej kepada seseorang yang sedang disekat oleh seting Had Komunikasi anda, nama atau nombor mereka kelihatan merah dalam senarai panggilan dan mesej terbaharu anda dan komunikasi anda akan gagal. Anda boleh berkomunikasi dengan mereka apabila had komunikasi ditukar. Jika had hanya digunakan pada masa henti, anda menerima mesej Had Masa. Anda boleh meneruskan komunikasi dengan mereka apabila masa henti tamat.
Untuk meneruskan komunikasi dengan kenalan yang disekat oleh seting Had Komunikasi anda, tukar seting dengan mengikuti langkah di atas.
Semak untuk imej sensitif
Anda boleh menjadikan iPhone anda (atau iPhone ahli keluarga anda) mengesan kebogelan dalam imej sebelum ia diterima dalam Mesej, AirDrop, Poster Kenalan, mesej FaceTime, app Foto dan app pihak ketiga yang menggunakan rangka kerja Keselamatan Komunikasi Apple. Jika kebogelan dikesan dalam imej, imej dikaburkan dan sumber disediakan untuk membantu anak anda mengendalikan situasi (tidak tersedia di semua negara atau rantau). Ciri ini tidak memberikan Apple akses kepada foto. Lihat artikel Sokongan Apple Perihal keselamatan komunikasi dalam Mesej.
Pergi ke Seting > Masa Skrin.
Ketik Keselamatan Komunikasi, kemudian aktifkan Keselamatan Komunikasi.
Apabila Keselamatan Komunikasi diaktifkan, iPhone mengesan imej bogel sebelum ia dilihat dan memaparkan amaran.
Nota: Apabila anda mengaktifkan Keselamatan Komunikasi, ia mengaktifkan Amaran Kandungan Sensitif dalam Seting > Privasi & Keselamatan. Anda juga boleh mengaktifkan Amaran Kandungan Sensitif secara berasingan dalam Seting > Privasi & Keselamatan. Lihat Terima amaran tentang kandungan sensitif pada iPhone.
Sekat kandungan tidak sesuai
Setkan Pengehadan Kandungan & Privasi untuk membolehkan Masa Skrin menyekat kandungan yang tidak sesuai dan mengesetkan pengehadan untuk pembelian iTunes Store dan App Store.
Pergi ke Seting > Masa Skrin.
Ketik Pengehadan Kandungan & Privasi, kemudian aktifkan Pengehadan Kandungan & Privasi.
Lakukan mana-mana daripada berikut:
Setkan pengehadan untuk pembelian dan muat turun semula kedai: Ketik pembelian iTunes Store & App Store.
Aktifkan atau nyahaktifkan app atau ciri: Ketik App & Ciri Dibenarkan.
Setkan akses dan penilaian kandungan untuk kandungan kedai, web, Siri dan Game Center: Ketik Kandungan Kedai, Web, Siri & Game Center.
Benarkan perubahan pada seting privasi dalam ciri, app atau media tertentu: Ketik pilih di bawah Privasi, kemudian ketik Benarkan Perubahan atau Jangan Benarkan Perubahan.
Benarkan perubahan pada seting lain: Ketik pilih di bawah Benarkan Perubahan Pada, kemudian ketik Benarkan atau Jangan Benarkan.
Seting Kunci Masa Skrin anda
Anda boleh melindungi seting Masa Skrin dengan memasukkan kod laluan Masa Skrin. Dengan cara ini, tiada sesiapa boleh menukar seting tanpa memasukkan kod laluan Masa Skrin terlebih dahulu.
Pergi ke Seting > Masa Skrin.
Ketik Seting Kunci Masa Skrin (skrol ke bawah, jika perlu).
Masukkan kod laluan 4 digit, masukkannya lagi, kemudian ketik OK.
Nota: Jika anda terlupa kod laluan Masa Skrin anda, lihat Jika anda terlupa kod laluan Masa Skrin anda.